Saturday 21 May 2011

ape tu bai'ah ? adakah ianya sah mengikut hukum syarak . ?

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci. Baiah ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, Baiatul Aqabah kedua, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiah kepada Ulil-Amri mereka. Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian ‘Ubadah berkata: “Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan) Dalam bukunya “Fi Al-Din Al-Khalis” Sadiq hasan Khan berkata: “Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat.” Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: “Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan”. Al-Daudi pula berkata: “Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya.” Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: “Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan.” (Fathul-Bari Jil 13, ms 6) Ibnul Jauzi Al-Maliki pula berkata: “Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah.” (Qawaniyyah Fikhiyyah 14) Seorang saudara petugas yang jujur wajiblah berpegang dengan kewajipan yang diamanahkan ke atas dirinya dalam mua’malah dengan mas’ul dan pimpinan dakwah. Saudara petugas mestilah mengelakkan diri mencari-cari kecacatan dan keaiban saudaranya, kerana sikap berbaik sangka terhadap seorang saudara yang lain adalah dasar asal yang mesti diikuti, bukannya mengikuti cara-cara kepartian yang jauh dari sifat takwa dan semangat keagamaan dan ingatlah setiap bidaah itu adalah sesat. Taat dan Hukum Syarak. Taat ertinya menurut perintah. Apabila taat tidak berlaku maka maksiat dan fitnah akan menggantikan tempatnya. Bagi sesorang Mukmin bibit-bibit fitnah itu pada mula mungkin tidak begitu jelas sehingga ia tidak merasai kewujudan fitnah itu kecuali setelah ia benar-benar terjadi. Oleh yang demikian ia wajib berhati-hati dalam segala tutur katanya, perbuatannya dan tindak-tanduknya supaya semua perbuatan-perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman. Memberi ketaatan (kepada yang berhak) adalah wajib selama ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau perkara yang boleh membawa maksiat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah Al-Nisa’ 4: ayat 59) Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah s.w.t. Barangsiapa yang menderhakaiku bererti ia telah menderhakai Allah s.w.t. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia derhaka terhadapku”. (Hadis) Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik yang berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik untuk menjadi ketuamu itu seorang hamba Habsyi (yang hitam).” Satu riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada amirnya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya tidak seorang pun yang memisahkan diri dari jama’ah walaupun sekadar sejengkal kecuali ia mati dalam keadaan jahiliyah.” Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memisahkan dirinya dari ikatan jama’ah sekadar sejengkal sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam dari tengkuknya.” Imam Bukhari juga meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Umar yang menyebabkan Rasulullah s.a.w bersabda: “Dengar dan taat adalah wajib atas setiap orang muslim dalam perkara yang ia suka atau benci selama ia tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila ia disuruh berbuat maksiat maka tidak wajib lagi ia mendengar dan mentaati.” Imam Bukhari juga meriwayatkan sebuah hadis yang berlangsung disandarkan kepada Sayidina Umar bahawa beliau: “Sesungguhnya manusia di zaman Rasulullah s.a.w dihukum dengan wahyu tetapi sekarang wahyu telah terputus. Oleh yang demikian kami akan menghukum kamu berdasarkan apa yang zahir (jelas) dari amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada kami, kami akan melindunginya dan mendekatinya. Kami tidak berhak mencari rahsia hatinya sedikitpun. Allahlah yang akan menghisab perkara yang berkaitan dengan hatinya. Sesiapa yang melakukan kejahatan kepada kami, kami tidak akan melindunginya dan tidak akan membenarkannya sekalipun ia menyatakan niatnya baik”. (Riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.